Monday, January 23, 2012

Jaga auratmu,wahai wanita:)

Coretan daripada Nor Halimah Ahmad Ramli at 11:16 PM


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullilah,saya masih diberi ruang untuk menitipkan sedikit peringatan.
Buat diri ini dan juga semua,khusus kepada wanita.
Saya sudah lama memendam hasrat ingin menulis tentang ini dan akhirnya alhamdullilah kekuatan itu sudah ada.Saya menulis entri ini bukan kerana saya bagus tetapi saya mahu menyampaikan apa yang kadang-kadang kita lupa dan alpa.
Segala kritikan yang membina untuk saya,saya terima.Saya sendiri masih berusaha membaiki diri.Berubah itu mungkin mudah tetapi untuk istiqamah pada perubahan itu agak sukar,namun ia bukannya mustahil.

Saya sayang sahabat muslimah di luar sana:)
Jadi mari kita renung diri kita bersama tentang penjagaan aurat.
Sesekali jangan dipandang enteng kerana itu perintah Allah,kita sebagai hamba-Nya wajib mematuhiNya dan yakinlah Allah itu tahu apa yang terbaik.




Memerhatikan persekitaran kita pada hari ini, ambil masa untuk lihat diri kita. Sudahkan kita memelihara aurat kita daripada ditatap insan yang tak sepatutnya? Jangan kita membalut aurat tetapi tutuplah ia dengan sempurna.^_^

Aurat wanita,apa dah jadi? Sempurnakah kita menutup aurat mengikut garis panduan dalam Islam?
Seringkali kita mendengar seindah hiasan adalah wanita solehah. Walaupun digambarkan sebagai hiasan ,jangan pula kita dengan semudahnya "memaparkan" segala bahagian tubuh. Kenapa ada di antara kita yang lebih senang keluar dengan berskirt pendek,berseluar ketat,berbaju nipis? Mungkin ada yang mengatakan untuk nampak cantik,slim? Boleh je nak pakai semua tu tapi pakailah kat tempat yang tak de bukan mahram. :) Bukan untuk ditayangkan pada si lelaki yang tak berhak di luar sana.

“Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah “- Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

Mungkin ada yang kata gembira sebab ramai lelaki suka begitu. Jadi pujaan lelaki. Renungkan semula,pandangan istimewa daripada lelaki itu dengan sebab hasil pendedahan kecantikan yang memukau. Semua itu hanya sementara sedangkan azab Allah menanti.Sayangkan tayang begitu je? Sedar atau tidak, kita juga menyebabkan kaum Adam ke lembah maksiat dengan berpakaian tidak menutup aurat.

Aurat wanita merupakan antara bahaya tersembunyi yang boleh merosakkan iman kaum lelaki secara halus, (hinggakan pak-pak Imam pun boleh jatuh tersungkur). Akibat dari wanita-wanita seksi dan tidak menutup aurat dengan betul lah maka wanita-wanita yang menutup aurat pun menjadi mangsa, kerana lelaki boleh membayangkan tubuh wanita hasil dari yang ditengok dari wanita-wanita seksi terutamanya yang menampakkan bentuk tubuh sebelum itu. Pernah terdengar perbualan kaum Adam,katanya"Kalau orang dah bagi tengok,aku tengok jelah,free tu". Nauzubillah minzalik. Perbuatan wanita yang mendedahkan aurat membuatkan lelaki berasa tertekan sehingga memungkin perkara tidak baik berlaku.

Allah berfirman:


Maksudnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, “Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…” (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

Baca ayat di atas juga,janji Allah,keselematan pasti terjaga dengan menutup aurat. Allah nak jaga hambaNya. Allah Maha Mengetahui sifat hambaNya.Mungkin ada yang akan kata" eleh..yang tutup aurat pun kena ganggu". Berbalik kepada perintah Allah,menutup aurat itu wajib bagi semua. Jika kita tak tutup aurat dengan sempurna sebenarnya secara tak langsung kita dah membahayakan kaum sejenis kita. Jadi,apa tunggu lagi? Kata sayang saudara kita,jadi jom sama-sama melindungi:) Pada si ayah,si suami,si adik,si abang,anda juga jangan leka,tegurlah keluargamu yang wanita agar menjaga auratnya dengan baik.

Kesilapan wanita tentang aurat.
1-Aurat tu pakai tudung je.
2- Bertudung,tapi bertshirt lengan pendek
3-Bertudung tapi kain terbelah
4-Bertudung tetapi berbaju ketat,nipis sehingga menampakkan tubuh badan yang menggoda.

Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini” (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).

5-Bertudung tapi terkeluar rambut,ataupun lebih tepat keluar jambul rambut.
6-Bertudung tapi kat sesetengah tempat je,cam kat pejabat atau sekolah. Kat pasar raya atau kat tempat lain ,hilanglah tudungnya.
7-Bertudung tapi tak tutup bahagian dada.
8-Bertudung tapi jarang atau nipis.
9-Bertudung tetapi naik motosikal dengan menayangkan betis.
10-Bertudung dan menutup aurat dengan sempurna tetapi bersikap manja pada yang bukan mahram.

Ramai yang salah faham,bertudung hanya menutup rambut. Kembali kepada firman Allah dalam surah AnNur:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.(ayat 31)

Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa : ‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.




Isu wanita dan fesyen tidak mampu dipisahkan. Saya akui saya sendiri sukakan fesyen yang nampak comel. Namun,dalam keghairahan berfesyen,sandarkannya pada kehendak Yang Maha Pencipta. Islam itu mudah dan tidak membebankan. Jadi,kita berfesyenlah mengikut ketetapan hukum syarak.

Sejujurnya saya sedih memikirkan dunia sekarang,rasa gentar,mohon kita dilindungi Allah. Sewaktu petang,saya lihat anak-anak gadis seusia saya tanpa segan silu ke hulu ke hilir tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat. Lebih sesuai jika pakaian mereka itu hanya di pakai di rumah atau di hadapan suami mereka jika sudah mendirikan rumah tangga. Jauh di sudut hati,seandainya saya mampu bersahabat dengan mereka,saya mahu mereka dan saya sama-sama ke jalanNya .Juga buat insan-insan yang berada di sekitar saya,yang mengenali diri ini,saya tidak berniat menyinggung mana-mana pihak,tetapi saya lakarkan juga entri ini di laman blog ini kerana saya amat menyayangi anda.

InshaAllah,kita sama-sama jaga aurat kita. Ingatan buat diri ini dan juga sahabat-sahabat yang membaca:)

Sebarang teguran amat dialukan.Sebarang perkongsian juga amat dihargai.Wallahu a'lam.

” SAMPAIKANLAH WALAU SEPOTONG AYAT -Sabda Rasulullah SAW”

Wassalam
NHAR 1608


0 comments:

 

Flavor of my life Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea